Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Seri Azam Baki bercakap pada media selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Antirasuah Kebangsaan (NACS) 2024 di Hotel Times Square, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 29 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Tuduhan tanpa kehadiran adalah pilihan terakhir untuk mendakwa menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan ke mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki agensi berkenaan yakin individu tersebut masih boleh dikesan atau pulang ke Malaysia.

“Memang kita sekarang ini telah keluarkan waran tangkap kepada beliau, kita belum memutuskan tuduh tanpa kehadiran. Ia boleh dibuat tapi itu merupakan pilihan terakhir kerana saya percaya dia boleh dikesan atau masih boleh balik Malaysia untuk menghadapi pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Baru-baru ini Azam dilaporkan sebagai berkata, SPRM akan membuat semakan notis merah terhadap Muhammad Adlan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap individu itu dan peguamnya Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lalu.

Tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semakan rekod yang dilakukan agensi tersebut mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 dan 21 Mei 2023. – MalaysiaGazette