KUALA LUMPUR – Zhafou Global Sdn. Bhd – pengeluar produk berasaskan sarang burung berjenama FG Walet yakin kerjasamanya dengan MyNews dapat mengembangkan penguasaan pasaran dan memudahkan lagi akses pelanggan untuk mendapat produk tersebut.
Pengasasnya, Fouziah Gous berkata, keyakinan itu berdasarkan kedai serbaneka terkenal itu memiliki lebih daripada 600 cawangan di seluruh negara.
Menurutnya, produk keluaran syarikat bumiputera yang telah mendapat pensijilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu akan mengedarkan produk terbaharunya iaitu dua siri minuman penggalak kulit.
“Penempatan produk yang terdiri daripada dua kategori iaitu Sarang Burung Premium dengan Kolagen Tambahan dan Gula Batu Sarang Burung Premium dengan Kolagen dan L-Cysteine akan membantu memudahkan akses pengguna mengamalkan gaya hidup sihat pelbagai umur
“Selepas 10 tahun berada di pasaran, kejayaan menarik minat MyNews adalah usaha mendidik orang ramai akan kepentingan sarang burung dalam kesihatan yang ditawarkan pada harga yang berpatutan,” katanya pelancaran produk premium FG Walet dengan kerjasama MyNews Plaza Sentral di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif MyNews, Dang Tai Luk.
Fouziah berbangga dapat menjadikan FG Wallet sebagai pelopor dalam fenomena sarang burung yang merupakan sumber asli negara dan ia harus dihargai.
“Sebagai rekod, FG Walet menggunakan sarang burung terbaik dan 100 peratus bahan semula jadi bagi memastikan pengguna menerima produk tulen yang memberi manfaat kepada kesihatan.
“Komitmen yang dipegang oleh jenama ini terhadap kualitinya telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Inovatif Produk MIHAS (2023), Anugerah Pilihan Superbrands Malaysia (2020), dan Sarang Burung Pemakanan Terbaik oleh Anugerah Jenama Halal Asia (2019),” katanya.
Fouziah juga memberitahu, jenama FG Walet kini memegang pensijilan antarabangsa yang mematuhi piawaian pembuatan seperti HALAL, MESTI, GMP dan HCCP, membolehkan ia mengembangkan pasarannya ke pasaran global seperti Brunei, Vietnam dan Singapura. – MalaysiaGazette