PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneliti permohonanan kuota untuk menempatkan anak-anak Orang Asli ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang perkara yang telah dibangkitkan di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) akan dipertimbangkan.
“Insya-Allah kita akan bincangkan itu semua kerana perkara-perkara ini dilontarkan dalam kongres.
“Ia menjadi satu resolusi sudah tentu sebagai agensi pelaksana (Mara) kita akan laksanakan apa sahaja yang diaspirasikan oleh akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor membangkitkan isu anak Orang Asli yang tidak memiliki peluang untuk memasuki MRSM.
Katanya, aspek pendidikan tidak wajar memiliki jurang yang membabitkan masyarakat Orang Asli dalam usaha untuk terus memperkasa dan melaksanakan perubahan golongan tersebut.
Ramli yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat turut meminta sekurang-kurangnya lima peratus kemasukan anak Orang Asli ke MRSM. – MalaysiaGazette