Foto: IPK Kelantan

KUALA KRAI – Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah selepas tidak mengendahkan arahan berhenti untuk pemeriksaan di Laloh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.35 malam itu, suspek berusia 45 tahun yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux ditahan selepas 40 minit dikejar oleh anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Kamarulzaman Harun berkata, polis mengekori kereta itu dari kawasan Batu Jong sehingga ke simpang empat Laloh, di sini, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggota MPV cuba menahan kenderaan itu namun tidak diendahkan dan bertindak meneruskan perjalanan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menjumpai satu bungkusan plastik berisi 162 pil disyaki dadah jenis syabu dan sebilah parang panjang bersarung hitam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast