Ribuan perserta RXZ Fighter Gathering berjemaah Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 hari ini.

KUANTAN – Hanya mukmin yang kental iman akan menunaikan solat secara berjemaah tanpa mengira halangan yang bakal dihadapi.

Sabungan kental iman dan kental rider menyaksikan peserta sekumpulan penunggang motosikal mendirikan solat Subuh di Masjid Sultan Negeri Ahmad 1, di sini, menerusi Subuh Fighter walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh.

Penghantar makanan, Mohd Adam Zainal,23, berkata, beliau mengharungi perjalanan kira-kira 300 kilometer dengan motosikal dari Klang, Selangor semata-mata untuk menyertai Subuh Fighter sempena RXZ Fighter Gathering, hari ini.

Mohd Adam Zainal (kanan)

”Sampai Kuantan pukul 6 lebih terus pegi solat Subuh berjemaah, kami datang konvoi 10 biji motosikal. Yang kental, akan sampai tapi kita pegi masjid dulu sebelum aktiviti ride RXZ hari ini.

”Jalan ok, cuaca ok dan tidak hujan, habis event terus  balik rasa seronok target nak sampai Subuh tercapai.

”Aktiviti sihat, elok sangat alhamdulillah misi sampai Kuantan untuk Solat Subuh berjemaah dan sertai aktiviti RXZ Fighter, habis event nanti terus balik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Program RXZ Fighter Gathering anjuran kerajaan negeri Pahang yang berlangsung pada hari ini dan esok 1 mengumpulkan komuniti penunggang RXZ dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik di Serambi Teruntum, di sini.

Hadir sama berjemaah Subuh tadi, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Menurut Mohd. Adam, aktiviti sebegini dapat memupuk silaturahim di samping menemui rakan baharu yang mempunyai minat sama dalam dunia permotoran.

Tambah beliau, masyarakat perlu menolak stigma negatif terhadap komuniti RXZ yang kini semakin meluas melakukan pelbagai aktiviti ke arah kebaikan termasuk dakwah.

”Kita target kumpul ramai-ramai dengan rider lain, kebanyakan mereka semua ini ride-ride, sembahyang-sembahyang. Cuma sebelum ini tidak diterapkan macam ini.

“Solat Subuh macam Jumaat, baguslah ramai datang. Tarik orang muda, bila kawan ajak kita datang,” katanya.

Sementara itu Mohd Fauzi Tukiran, 30, bermusafir dari Johor berkata, aktiviti menunggang motosikal berkonvoi semakin aktif apabila mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dan agensi kerajaan.

”Persepsi mat motor tu salah dan boleh tukar dah, sebenarnya yang hadir Subuh ribuan ni baru sikit, kalau kat tempat lain lagi ramai, sebenarnya ramai geng masjid.

Mohd Fauzi Tukiran sangguh bermusafir dari Batu Pahat, Johor menyertai program Subuh berjemaah bersama rakan-rakan yang bertolak pada tengah malam tadi

”Program macam ni bagus lebih-lebih lagi tadi tazkirah dari Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badlishah. Pahang memang terbaik menganjurkan aktiviti sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette