KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Pakistan yang cuba menyogok anggota polis dalam satu sekatan jalan raya di Tumpat, Kelantan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu ditahan pada jam 1.20 pagi ketika memandu sebuah van yang turut dinaiki seorang rakan senegaranya.
Menurut sumber, ketika ditahan, lelaki itu didakwa cuba menyogok anggota polis bertugas sebanyak RM200 sebagai dorongan agar tidak diambil tindakan undang-undang.
“Lelaki itu juga didapati tidak memiliki lesen kenderaan barangan (GDL) dan menyalahgunakan pas perjalanan,” kata sumber itu.
Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, ketika dihubungi mengesahkan kepada media berkaitan penahanan itu.
Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan lelaki itu direman enam hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette