Ketua Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Mydin bercakap pada Sidang Pleno Sesi Libat Urus Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SYADILA AMARI, 02 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Ekonomi masyarakat bumiputera boleh maju dan berdaya saing sekiranya semua pasar raya di negara ini disyaratkan 30 peratus daripada barang yang dijual merupakan keluaran Indusri Kecil dan Serderhana (IKS) Bumiputera.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, syarat tersebut perlu juga dikuatkuasakan terhadap pasar raya asing.

Bercakap pada sesi rumusan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, Ameer Ali turut mencadangkan agar 70 peratus bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan keluaran syarikat tempatan.

“”Tak payah utamakan jenama asing sebab barang kita setaraf malah ada yang lebih baik daripada keluaran multinational.

“Lupakan barangan luar utamakan barangan Malaysia, barangan bumiputera. Saya fikir tak guna kita belanja berjuta ringgit nak tolong Melayu buat kilang. Mereka tak perlukan bantuan itu.

“Mereka perlukan pertolongan untuk barangan yang dihasilkan dijual. Apabila barangan mereka dapat dijual dalam jumlah yang besar, mereka akan menjadi kuat. Bila mereka kuat baru mereka boleh eksport,” katanya.

Menurut Ameer Ali, jenama bumiputera perlu diperkukuh di dalam negara sebelum meneroka ke pasaran luar.

Tambah beliau kebanyakan jenama asing berjaya di pasaran luar selepas mereka berjaya mengukuhkan jenama di negeri asal masing-masing.

Beliau yang merupakan pengerusi kluster indusri halal turut mencadangkan 10 jenis produk yang perlu diberi tumpuan bagi pasaran halal iaitu biskut, santan, mi, mi segera, sardin, susu segar, krimer, ayam dan sabun.-MalaysiaGazette