Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi jawapan lebih tegas dalam membasmi aktiviti pornografi dan judi atas talian dan di platform media sosial.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil perlu lebih bertanggungjawab bukan hanya sekadar bentang statistik dan data.

“Kerajaan perlu memikirkan langkah drastik dan memburu mereka yang mempromosikan atau menyediakan lamam web atau aplikasi tersebut untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Saya juga bimbang kalau laman web pornografi tidak disekat akan mengakibatkan berlakunya jenayah seksual antara si pelaku dan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Saiful berkata demikian mengulas jawapan Fahmi di Dewan Rakyat bahawa kewujudan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] diperuntukkan bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain bagi membuat, mewujudkan, meminta-minta dan memulakan penghantaran kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Fahmi berkata, peruntukan Seksyen 233 Akta 588 ini adalah terpakai dalam usaha Kerajaan untuk mengawal laman-laman pornografi dan lucah di Malaysia.

Menurut Wan Saiful, usaha untuk menyekat sahaja kandungan pornografi dan perjudian dalam talian tidak cukup kerana penyedia aplikasi atau laman web tersebut menggunakan pelbagai kaedah untuk menembusi sekatan tersebut.

“Ibarat sekat hari ini, esok muncul akses laman web baru. Saya nak ingatkan, rangkaian internet kini dikawal oleh kerajaan Madani,” katanya.

Bagi tempoh dari 1 Januari tahun lalu sehingga 15 Februari, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat 1,122 laman pornografi dan lucah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast