Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia kini dikenali dengan singkatan Kesuma bermula esok.

Nama singkatan itu akan digunakan secara rasmi ke atas segala urusan berkaitan dengan kementerian berkenaan.

Menerusi kenyataannya, kementerian itu memaklumkan, penjenamaan singkatan itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Mac lalu.

“Kesuma dipetik daripada suku kata awal frasa setiap perkataan Kementerian Sumber Manusia, iaitu KE.SU.MA.

“Kesuma juga merupakan perkataan lama dalam Bahasa Melayu yang bererti ‘bunga’.

“Keindahan maksud bahasa ini bersesuaian dengan misi strategik 3K kementerian, yakni memperkasakan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam tempoh dua bulan ini, selaras dengan misi strategik 3K, kementerian itu sudah memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja, melaksanakan pembaharuan ke atas institusi Mahkamah Perusahaan dan tegas memberi penekanan terhadap hak gaji pekerja.

“Ia juga meluaskan liputan skim keselamatan sosial, mempertingkatkan kualiti latihan kemahiran serta paling penting sekali, melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan tata kelola di kesemua jabatan dan agensi kementerian,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast