KUALA LUMPUR – Peningkatan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2023 dengan hasil pendapatan pelaburan yang meningkat sebanyak 33 peratus berbanding tahun lepas adalah satu berita baik untuk pencarum.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, berita gembira kerana KWSP menunjukkan prestasi pelaburan yang cemerlang dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

Peningkatan dividen syariah KWSP 2023 juga adalah satu berita baik untuk pencarum KWSP yang memilih simpanan syariah kerana ia menunjukkan prestasi pelaburan tetap cemerlang dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

“Dengan peningkatan tersebut, KWSP telah mengekalkan dividen yang kukuh, memberikan kepastian kepada pekerja mengenai hasil pelaburan pekerja dalam simpanan KWSP terutama dalam dividen simpanan syariah yang menunjukkan peningkatan dividen yang tinggi dengan 5.40 peratus, lebih tinggi daripada dividen shariah 2022 yang hanya 4.75 peratus.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.65 peratus atau 13.68 peratus secara relatif,” katanya dalam satu kenyataan.

KWSP telah mengumumkan untuk mempertahankan prestasi kukuh dengan dividen sebesar 5.50% untuk simpanan konvensional dan 5.40% untuk simpanan Syariah dengan agihan pendapatan tertinggi sebanyak RM57.91 billion.

MTUC seterusnya percaya peningkatan dividen syariah KWSP 2023 akan menarik lebih ramai pencarum untuk memilih simpanan shariah dimasa-masa akan datang.

“Dengan kestabilan dividen yang diumumkan oleh KWSP telah memberikan keyakinan kepada pekerja mengenai prestasi pelaburan mereka dalam simpanan KWSP untuk masa akan datang serta memberi pertunjuk pertumbuhan ekonomi
yang semakin stabil dan meningkat.

“Kami percaya dengan adanya pertumbuhan ekonomi yang stabil akan meningkatkan lagi peluang pekerja secara tidak langsung akan menambah jumlah ahli pencarum KWSP yang mana dapat kita lihat sumbangan caruman pada 2023 telah meningkat manakala pengeluaran ke tahap pra pendemik.

“Komitmen KWSP untuk mempertahankan dividen yang kukuh memberikan kepastian kepada pekerja mengenai pertumbuhan simpanan pekerja dalam jangka panjang terutama simpanan hari tua nanti terutama bagi memastikan setiap pencarum mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya sekitar RM240,000 apabila bersara nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette