Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan  berkerugian lebih RM3 juta pencuri yang memecah masuk rumahnya di Sentul, di sini, melarikan peti besi mengandungi jongkong emas dan wang tunai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut daripada wanita berusia 43 tahun itu hari ini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara jam 10 hingga 12 tengah malam tadi.

“Siasatan polis di lokasi mendapati suspek telah merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa sebelum memecah masuk dan menyamun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ashari, pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut melarikan bebrapa beg tangan pelbagai jenama serta barang kemas milik ahli keluarga mangsa dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM3.5 juta.

Tambah beliau, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette