Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Chegu Bard dan Bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Muhammad Zahid Md Arip berhubung kenyataan mereka berkaitan kenderaan mewah kurniaan Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata,  kedua-dua individu itu sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Siasatan ke atas kedua-dua mereka menyusul disebabkan kenyataan yang dibuat mereka berkaitan kendera­an baharu yang digunakan perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Kini, polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan kedua-dua individu itu akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut kes ini,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan KDNKA serta Pengarah dan Pengerusi PERKEP JSJN PDRM di Dewan Tan Sri Abd Rahman Hashim di Pulapol pagi tadi.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menggunakan kenderaan baharu ke Parlimen iaitu jenama Mercedes Benz berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158, yang mana semakan didaftarkan atas nama Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette