SST

TERDAPAT  segelintir pihak yang menuduh kononnya MCA hanya memperjuangkan golongan kaya dan memperlekeh Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong yang merayu kepada kerajaan berhubung cukai yang dikenakan terhadap penggunaan elektrik.

Sedangkan, apa yang dibangkitkan oleh Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam di Dewan Rakyat itu sebenarnya membela nasib semua rakyat sebagai pengguna.

Betul, penggunaan elektrik 600kwj ke bawah tidak dikenakan cukai. Tetapi bagaimana pula dengan penggunaan elektrik melebihi 600kwj, yang kebiasaannya melibatkan golongan peniaga, kilang dan sebagainya?

Dalam kenyataan media Kementerian Kewangan bertarikh 28 Februari 2024 telah mengesahkan dan dinyatakan dengan jelas, “Bagi perkhidmatan elektrik, Cukai Perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600kWj.”

Ini bermakna, pengusaha perniagaan perlu membayar atau dikenakan kenaikan cukai kerana menggunakan elektrik lebih 600kwj dan sudah tentulah menyebabkan harga barangan atau perkhidmatan meningkat.

Apabila sesuatu kadar cukai itu meningkat, maka sudah tentulah ia memberi kesan kepada seluruh sistem di mana harga-harga jualan atau perkhidmatan akan turut meningkat dan mereka yang menerima kesannya ialah rakyat sebagai pengguna akhir.

Jadi, hentikanlah sindrom penafian dengan menyatakan harga barang atau perkhidmatan tidak akan naik susulan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dari 6% kepada 8% yang mula berkuatkuasa semalam, 1 Mac 2024.

Pada 9 Julai 2023, Utusan Malaysia ada melaporkan kenyataan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan dengan artikel bertajuk “Harga barang dijangka naik 20 peratus bermula Ogos”

Menurut laporan tersebut, harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Itu ketika kadar SST 6%, maka sudah tentulah harga barangan terus meningkat dengan pelaksanaan SST 8%.

Perlu ditekankan bahawa saya mahupun MCA amat memahami keperluan kerajaan mengutip cukai, malah sesebuah negara sememangnya memerlukan pendapatan menerusi kutipan cukai yang kemudiannya dikembalikan kepada rakyat dengan pelbagai saluran merangkumi kebajikan rakyat, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan tidak membebankan rakyat dengan kutipan cukai berganda.

Sesungguhnya cukai SST banyak berlaku kelompongan, bahkan menyebabkan kerajaan hilang RM20 bilion – RM30 bilion akibat ‘black economy’ yang sukar dipantau.

Sebab itu MCA berulang kali menyebut, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dikembalikan dengan menambahbaik mekanisme pelaksanaan khususnya berkaitan pembayaran balik GST. Ianya bukan sahaja telus tetapi juga membuktikan sistem yang dapat membantu kerajaan meraih pendapatan negara. Angka dan fakta yang tidak boleh dinafikan, GST dapat menjana RM44 bilion dan membentuk kira-kira 2.8 peratus daripada KDNK pada 2017 ketika pentadbiran Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Membela rakyat dan mengutamakan negara, atau terus dengan sindrom penafian, perbodohkan rakyat dan akhirnya mewariskan negara dalam keadaan parah kepada generasi akan datang.

Chua Hock Kuan
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA