Pelancaran Penerbangan Pertama Kota Kinabalu- Seoul. semalam.

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Malaysia hari ini melancarkan penerbangan Kota-Kinabalu-Seoul, Korea Selatan.

Laluan baharu itu menandakan pengembangan rangkaian syarikat penerbangan ini dengan 18 laluan dan 282 jumlah penerbangan mingguan ke dan dari Kota Kinabalu.

Penerbangan terus itu menjadikan perjalanan antara dua destinasi ini lebih mudah diakses selain menawarkan harga yang berpatutan untuk penduduk Sabah menerokai keunikan budaya di Korea Selatan.

Antara destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan adalah Istana Gyeongbokgung dan Sungai Cheonggyecheon, mercu tanda ikonik termasuk Menara Lotte World dan Seoul Sky Observatory selain menikmati juadah tempatan di Pasar Mangwon.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya berbesar hati untuk meraikan laluan baharu ini dengan muatan penuh yang menjadi petanda baik untuk masa hadapan.

“Dengan lebih 150,000 pelancong dari Korea Selatan, kami berharap untuk membawa lebih ramai pelancong ke Sabah tahun ini.

“Korea Selatan merupakan salah satu pasaran utama sektor pelancongan di Sabah dan pelancaran laluan ini akan memberikan banyak manfaat kepada peningkatan sektor pelancongan selain mengeratkan hubungan budaya dan ekonomi dengan Korea Selatan,” katanya menerusi kenyataan.

Penerbangan itu diraikan dengan majlis pelepasan yang meriah oleh AirAsia dan Organisasi Pelancongan Korea dengan kehadiran maskot dan pemberian cenderamata kepada para tetamu.

Sempena sambutan penerbangan pertama itu, AirAsia menawarkan tambang promosi bermula daripada RM389 untuk perjalanan sehala.

Tawaran promosi itu boleh ditempah bermula 5 hingga 17 Mac ini untuk tempoh perjalanan antara 5 Mac dan 26 Oktober 2024 di laman web airasia.com dan aplikasi AirAsia Move yang dikenali sebagai ‘airasia Superapp’ sebelum ini.

Semua warganegara yang layak untuk kemasukan visa ke Korea Selatan termasuk Malaysia harus memohon K-ETA sebelum bertolak ke negara itu. – MalaysiaGazette