Bot nelayan dikendalikan warga tempatan ditahan APMM Perak - Foto APMM Perak

KUALA LUMPUR – Dua bot nelayan tempatan kelas B bersama lapan nelayan tempatan termasuk tekong ditahan ketika berada pada kedudukan 6.5 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-lomba, dan 6.6 batu nautika barat daya Tanjung Sungai Tiang, Perak kira-kira sekitar jam 11.35 pagi dan 11.40 pagi, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kapten Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bot terbabit dikesan melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot ronda ketika melakukan rutin operasi menerusi Op Sayong, Op Pintas dan Op Tiris sekitar perairan di negeri ini.

“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot berkenaan dikendalikan oleh dua orang tekong warga tempatan bersama enam kru warga tempatan dan Myanmar berumur dalam lingkungan 36 hingga 67 tahun.

“Tiga orang kru warga Myanmar lain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kedua-dua bot terbabit beroperasi kurang daripada 8 batu nautika dari daratan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana kedua-dua bot terbabit beroperasi kurang daripada 8 batu nautika dari daratan dan Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua nelayan ditahan, bot dan hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, boleh dilaporkan dengan menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999- MalaysiaGazette