KLUANG – Dua warga emas maut selepas kenderaan yang dipandu mereka bertembung di KM27, Jalan Kluang-Teck Wah Heng, Renggam, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, DSP Nik Mohd Azmi Husin dalam kenyataan hari ini memaklumkan nahas yang berlaku pada kira-kira 2 petang itu membabitkan kenderaan jenis Mercedes Benz dan Toyota Hilux.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu yang berusia 71 dan 74 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan.

“Siasatan awal mendapati kereta Mercedes Benz dipandu oleh lelaki berusia 71 tahun dari arah Layang-Layang ke Renggam manakala Toyota Hilux dipandu oleh lelaki berusia 74 tahun dari arah bertentangan sebelum kedua-duanya bertembung,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Penolong Penguasa Bomba Nizar Mamun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.55 tengah hari dan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dikeluarkan dengan peralatan khas dan didapati telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada 3.17 petang,” katanya. – Bernama