Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap kepada media selepas lawatan kerja sempena pelaksanaan inisiatif sistem latihan dan pengujian memandu secara elektronik (eTESTING) di Institut Memandu Surfine Hitach, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 MAC 2024.

HULU LANGAT – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia hari ini memperkenalkan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting).

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai permulaan sistem eTesting dilaksanakan sebagai projek rintis di tiga institut memandu di seluruh negara.

Katanya, prestasi setiap calon ujian memandu menerusi eTesting akan diukur dengan menggunakan alat sensor dan kamera yang mana keputusannya akan dijana secara masa nyata (real-time), sekaligus meningkatkan integriti proses penilaian.

“Setiap calon dalam ujian lesen memandu diberikan pilihan untuk menjalani ujian biasa ataupun eTesting.

“Institut Memandu (IM) boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon yang memilih untuk menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat iaitu yang pertama calon boleh membuat percubaan kali ke-2 bagi setiap elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa sebarang kos tambahan kepada calon.

“Bagi ujian ulangan, calon hanya perlu membuat ujian ulangan melibatkan elemen yang gagal sahaja tanpa perlu mengulangi keseluruhan elemen ujian Bahagian II (seperti pelaksanaan ujian secara manual),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja Pelaksanaan Inisiatif Sisten Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elekronik di Institut Memandu Surfine Hitech, di sini, hari ini.

Selain itu, satu lagi manfaat yang akan dinikmati adalah calon ujian yang diuji menggunakan sistem akan diberikan keutamaan dalam senarai tempahan ujian selain diberikan rebat RM10 bagi pengeluaran Lesen Percubaan.

“Dengan pelaksanaan ujian secara eTesting ini sekaligus meletakkan titik noktah kepada segala tohmahan dan dakwaan ke atas pegawai JPJ kami kononnya ada berlaku ketirisan dalam pengujian selain tiada ruang untuk berlaku perbuatan ‘pau-guarantee lulus’ atau lesen terbang.

“Ini kerana hanya calon seorang sahaja akan berada di dalam kenderaan semasa pengujian tanpa penguji (pegawai JPJ) duduk di sebelah dan ini bukti ujian dijalankan secara penuh berintegriti,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai sistem eTesting, Anthony berkata, lebih ramai calon, sehingga 150 orang, boleh diuji sehari berbanding sistem ujian sedia ada atau manual.

Selain itu, katanya, sistem eTesting ini juga akan meningkatkan integriti sistem ujian memandu, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik.

“Institut memandu seluruh negara dibenarkan untuk menawarkan ujian berasaskan eTesting bermula pada April 2024 dan sebagai projek rintis tiga institut memandu menyediakan sistem eTesting iaitu Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor, Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd, Pulau Pinang.

“Kita mengalakkan semua institut memandu untuk menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting dan mereka diberikan tempoh selama enam tahun bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting sepenuhnya menjelang 2030.

“IM boleh memilih mana-mana penyedia perkhidmatan eTesting yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian Projek eTesting tanpa sebarang paksaan iaitu Syarikat Uji Bestari Sdn. Bhd; Syarikat TBS Solutions Sdn. Bhd dan KOPIMA Technology Sdn. Bhd,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, terdapat tiga lagi penyedia perkhidmatan eTesting yang masih berada dalam fasa penilaian dan ia akan diumumkan kemudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast