Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Bulan Pertahanan Awam Sempena Sambutan Hari Pertahanan Awam Sedunia dan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-72 ketika di Ibu Pejabat Pertahanan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kajang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 MAC 2024.

BANGI – Pengumuman berkaitan perjawatan di dalam Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan dibuat dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada pengarah perkhidmatan awam mengenai perjawatan di dalam APM.

Katanya, langkah itu diambil kerana masyarakat melihat APM dan Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) sebagai sebuah agensi yang memainkan peranan penting.

“Kita ketahui bahawa keputusannya amat positif. Insya-Allah dalam waktu terdekat ada pengumumannya. Bukan soal wang ringgit jadi keutamaan tapi penghargaan kepada jasa dan wira tidak didendang ini harus didengar masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Pertahanan Awam Sedunia dan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Kali ke-72 Tahun 2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid  mahu melihat semua agensi yang diletakkan dibawahnya dihargai bukan sahaja oleh masyarakat tetapi juga oleh kerajaan.

Bagi tujuan itu, katanya, keterlibatan APM untuk dijenamakan semula harus dilakukan.

Jelas beliau, APM bukan sahaja memainkan peranan dalam membantu masyarakat menerusi aspek bencana sebaliknya agensi itu merupakan pertahanan kedua kepada negara.

“Itu sebabnya dalam ucapan lalu saya katakan pertambahan penyertaan semua kumpulan masyarakat dalam APM terutama artis kita, golongan profesional malah kita ketahui di KDN dan KKDW telah lihat bahawa penyeragaman pakaian seragam telah diwajibkan kepada semua ahli ahli mesyuarat pengurusan tertinggi.

“Sebagai menteri di KKDW, saya telah adakan perbincangan dengan PM bahawa bukan hanya KKDW pakai pakaian seragam tapi kita berazam pegawai di JPM harus dipakaikan pakaian ini agar semangat mereka lebih kental,” tambahnya. – MalaysiaGazette