Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Felo Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai berada dalam penafian.

Ini berikutan gesaan Teresa yang mahu polis menyiasat dirinya berhubung rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.

“Bagi saya apa yang saya katakan itu semuanya betul, ia realiti dalam perbualan sesama orang Cina,” tambahnya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

“Komen-komen mereka (orang Cina) di media sosial, kebanyakannya merendahkan orang Melayu,” kata bekas Felo Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Kok Seong mendakwa, masyarakat Melayu dan India sedar akan sentimen dalam kalangan komuniti Cina.

Laporan Malaysiakini menyebut, menurut beliau, komunitinya iaitu Cina Peranakan turut menerima tempias diskriminasi daripada majoriti kaum Cina yang tidak berasimilisasi dengan budaya tempatan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, komuniti Cina Peranakan juga memandang rendah terhadap komuniti Siam tempatan tetapi dia kemudiannya menyedari bahawa minoriti etnik itu lebih baik kerana status bumiputera mereka.

“Pandangan seperti itu terpahat dan ya, dia (Teresa) dalam penafian,” jelas Kok Seong ketika mengulas kenyataan pemimpin DAP itu.

Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP mempersoalkan mengapa Kok Seong tidak disiasat dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua.

“Saya dan ramai ahli-ahli berhormat di dewan ini belajar di sekolah Cina. Kami tidak pernah diajar untuk memandang rendah orang Melayu.

“Kenyataan dari  Prof. Teo Kok Seong ini memang memutarbalikkan fakta dan melaga-lagakan hubungan di antara masyarakat Melayu dan masyarakat Cina.

“Ini adalah hasutan. Kenapakah kenyataan yang rasis dan putarbelit ini tidak disiasat oleh PDRM?” soalnya ketika membahaskan titah diraja.

Menerusi video TikTok yang disiarkan Merdeka Times, Kok Seong mendakwa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Teo mendakwa 95 peratus anak-anak Cina dihantar ke sekolah vernakular Cina dan enggan berintegrasi dengan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini.

Beliau juga mendakwa ancaman utama terhadap keharmonian negara ialah keengganan orang bukan Melayu khususnya kaum Cina untuk berintegrasi kerana memandang rendah orang Melayu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sebagai seorang ilmuan, pengkaji, apa yang dilontarkan oleh professor Datuk Dr Teo ini adalah semuanya benar. Diharap ada pihak2 yang dapat mendokumenkan hasil kajian ilmiah yang sangat bernilai ini. Ianya juga dapat dijadikan rujukan dalam menggubal polisi2 dimasa hadapan.

Comments are closed.