Kontinjen Pusat Tamhidi USIM menunjukkan prestasi membanggakan dalam Kejohanan Sukan Asasi Malaysia 2024 yang berlangsung di UUM.

NILAI – Persiapan dan latihan berstruktur lebih awal yang dilaksanakan oleh Pusat Tamhidi (Asasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Pusat Sukan USIM untuk atlet ke Sukan Asasi Malaysia (SAM) 2024 berjaya meraih pencapaian yang membanggakan.

Berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah dari 1 hingga 3 Mac 2024, kontinjen USIM yang disertai 132 atlet dan 23 pegawai pengiring bertanding dalam 10 acara dalam edisi kali ini. USIM berjaya membawa pulang lima pingat perak dan dua pingat gangsa untuk berada di ranking kesembilan keseluruhan dari 14 asasi universiti awam dan matrikulasi yang menyertai.

Pingat perak disumbangkan dari acara futsal, bola tampar (wanita), ping pong, badminton dan e-sukan manakala pingat gangsa diraih dari acara bola tampar (lelaki) dan catur (lelaki). Kejohanan SAM merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam sejak 2018 dengan kejohanan kali ini Pusat Asasi Pengurusan UUM dipilih selaku tuan rumah SAM 2024.

Kejohanan sukan dianjurkan bertujuan untuk menyediakan jaringan hubungan antara program-program asasi universiti awam serta menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti sukan, membentuk mahasiswa yang cerdas, cergas, berdaya saing, tahan lasak dan kreatif.

Ketua kontinjen USIM, Mohd Naqiudin Che Ibrahim menyifatkan pencapaian atlet Tamhidi dalam SAM kali ini adalah cemerlang.

“Walaupun tiada rezeki untuk menuai pingat emas, tetapi jumlah pungutan pingat kali ini amat baik berbanding tahun lalu. Terutamanya dalam acara yang memberi saingan sengit sejak awal di peringkat kumpulan lagi seperti futsal, bola tampar dan badminton”.

“Pencapaian atlet kita di SAM secara langsung memberi harapan cerah untuk mereka lebih cemerlang dan menyinar apabila diserap sebagai atlet universiti di peringkat sarjana muda nanti.

Ini juga satu prospek cerah kepada USIM untuk bersaing dalam acara sukan yang lebih kompetitif seperti di pertandingan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) selepas kerana kita telah kenal pasti ‘ubi muda’ lebih awal” tambahnya.

Sebelum bertandang ke UUM, satu majlis penyerahan bendera rasmi USIM kepada kontinjen Tamhidi ke SAM 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr. Adnan Mohamed Yusuff bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah.

Majlis penutup kejohanan SAM yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan UUM pada Ahad telah dirasmikan oleh Tan Sri Wira Dr. Hj. Mohd Shukor  Mahfar, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM.

Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara keseluruhan dengan kutipan 17 pingat emas, enam pingat perak dan lima pingat gangsa. Manakala Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diumumkan secara rasmi sebagai tuan rumah kejohanan SAM pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast