Lim Lip Eng
Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen kerajaan menggesa agar pelaksanaan Kod Etika Wartawan yang dilancarkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini ditangguhkan.

Ahli Parlimen Kepong (PH), Lim Lip Eng berkata, gesaan itu dibuat supaya kerajaan dapat memberi penjelasan lanjut berhubung pelaksanaannya di Dewan Rakyat dan memberi ruang kepada semua ahli Parlimen membahaskannya.

“Saya sedih, sebab ahli-ahli Parlimen tidak pernah diberi taklimat oleh kerajaan sebelum pelaksanaan kod etika media ini.

“Oleh itu, saya minta pelaksanaan kod etika media ini ditangguhkan dan saya juga minta kerajaan memberi penjelasan isu ini di Dewan Rakyat supaya perkara ini boleh dibahas oleh kerajaan dan juga pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demeikian pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih keatas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Lip Eng turut melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan keputusan kerajaan semalam untuk melaksanakan kod tersebut.

Berikutan itu, beliau tidak pasti sama ada mahu menyokong ataupun mengkritik pelaksanaan kod etika wartawan yang dilancarkan oleh oleh Fahmi baru-baru ini.

“Saya nak tanya bagaimana ahli Parlimen boleh menyokong kerajaan dalam isu ini apabila we were kept in the dark, dengan izin.

“Saya juga berasa segan apabila ditanya oleh kawan-kawan daripada media. “Apakah rasionalnya kod etika ini? soalnya lagi.

Fahmi pada 20 Februari lalu melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang mengandungi lapan etika utama, antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Selain itu, pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan. – MalaysiaGazette