Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli memeriksa kedai shisha yang beroperasi secara haram pada Operasi mencari orang awam yang masih degil dan ingkar dengan merokok di premis makanan pada Ops Tempat Makan di sekitar Cyberjaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MAC 2024.

CYBERJAYA – Mana-mana individu yang menghisap vape di tempat larangan boleh diberikan notis, manakala cecair rokok elektronik itu akan diambil untuk dihantar menjalani ujian di Jabatan Kimia.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, sekiranya ujian cecair vape itu mengandungi nikotin berasaskan tembakau, kompoun akan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau (2004).

“Tindakan mengambil sampel untuk ujian ini akan diteruskan sehinggalah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Ops Tempat Makan di beberapa premis makanan di sini sejak dari jam 5 petang hingga 10.30 malam tadi.

Pegawai Penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) daerah Sepang menunjukkan sampel rokok dan cecair rokok elektronik yang di rampas pada Operasi mencari orang awam yang masih degil dan ingkar dengan merokok di premis makanan pada Ops Tempat Makan di sekitar Cyberjaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MAC 2024.

Dalam pada itu, sepanjang Ops Tempat Makan yang bermula pada 5 dan 6 Mac lalu, pihaknya mengeluarkan enam notis berkaitan tindakan menghisap paip air (shisha) atau lebih dikenali hookah.

“Sebanyak tiga notis kesalahan telah dikeluarkan khusus kepada tuan punya premis ini kerana masih menyediakan perkhidmatan shisha,” katanya.

Ditanya tentang tindakan susulan terhadap kesalahan berkaitan shisha, beliau berkata, pihaknya membuat pemantauan susulan untuk memastikan aktiviti penyediaan aktiviti hookah dapat dikawal.

“Kita akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Perbandaran Sepang untuk menimbangkan tindakan-tindakan lain di bawah bidang kuasa mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette