Akmal Saleh
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Kempen mengalakkan masyarakat menyertai perkhidmatan awam tidak seharusnya ditumpukan kepada kaum Cina sahaja.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kempen berkenaan sewajarnya meliputi semua kaum di negara ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu berkata, tumpuan pengambilan pelbagai kaum seharusnya diberi terhadap pengambilan anggota tentera.

“Pertamanya bukan galak kepada kaum Cina sahaja ia patut digalakkan kepada kaum India dan kaum-kaum yang lain juga terutama dalam bidang ketenteraan yang kurang penyertaannya di kalangan bukan bumiputera,” tegas beliau.

Muhamad Akmal menggulas laporan media bahawa kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina untuk menyertai perkhidmatan awam akan diadakan di seluruh negara bermula di Melaka.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai berkata, kempen itu diadakan berikutan jumlah kaum Cina yang berminat untuk menjadi penjawat awam rendah.

Katanya, semasa kempen itu berlangsung penjawat awam Cina akan berkongsi pengalaman kerja dengan mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada kakitangan awam.

Kempen itu dianjurkan bersama oleh pejabat setiausaha politik Perdana Menteri dan Media Chinese International Limited.

“Jika tiada apa yang dilakukan, keadaan akan menjadi lebih teruk,” ujar Ming Kai.

Tambah beliau, berdasarkan pengambilan terkini penjawat awam oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) seramai 17,386 kaum Cina memohon jawatan.

Bagaimanapun 4,285 telah disenarai pendek untuk temu duga yang mana hanya 3,708 telah menghadiri temu duga dan 1,634 akhirnya diambil.

Sementara itu Muhammad Akmal meminta kerajaan menghalang syarikat swasta daripada mengenakan syarat untuk mengambil pekerja hanya berdasarkan kaum tertentu.

Beliau menggesa supaya syarat untuk tahu berbahasa selain daripada bahasa Melayu turut dihapuskan.

Muhammad Akmal berpendapat, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran. – MalaysiaGazette