Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid beramah mesra bersama wartawan Malaysia Gazette, Kumara Sabapatty dan Norayuni Johari ketika di Majlis Hi-Tea bersama pengamal media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Kuala Lumpur mahu kerjasama padu dan hubungan baik dengan pengamal media terus diperkukuhkan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid menyifatkan media merupakan sahabat utama dalam menyampaikan maklumat dan melaporkan kejayaannya.

Untuk itu, beliau mahu setiap pengamal media memastikan berita yang dilaporkan adalah sahih.

Menurut beliau, laporan berita yang positif bakal memberikan gambaran dan persepsi baik terhadap polis namun sekiranya sebaliknya ia boleh menghakis kepercayaan masyarakat kepada pasukan keselamatan itu.

“Tugas polis adalah membanteras jenayah tetapi dalam masa sama kita juga mahu hasil kerja kita disampaikan kepada masyarakat.

“Media sememangnya adalah sahabat utama Polis Kontinjen Kuala Lumpur (Polis KL), media ni khususnya dari unit meja jenayah yang akan melaporkan sesuatu apa sahaja yang dilihat dan berlaku sehingga ada membuat panggilan pada saya ketika tengah malam,” katanya pada Majlis Minum Petang, Ketua Polis Kuala Lumpur bersama Pengamal Media, di sini.

Majlis yang meraikan 58 pengamal media itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob; Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Samsor Maarof; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Habibi Majinji; ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua polis daerah.

Dalam ucapannya, Allaudeen menzahirkan rasa terima kasih kepada pengamal media kerana sentiasa menyokong padu Polis KL dalam segala aktiviti yang dijalankan.

Beliau turut berharap media boleh mewujudkan lebih banyak saluran untuk melaporkan kisah-kisah polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast