KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 45 tahun melecur dalam kebakaran di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Bangsar Utama 6, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.44 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian pada pukul 11.51 pagi, pihak kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah restoran nasi kandar yang musnah 70 peratus.
“Terdapat seorang lelaki dewasa berusia 45 tahun melecur 80 peratus di badan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, operasi terbabit melibatkan enam buah jentera berserta 44 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pantai, Seputeh, Jalan Hang Tuah, Sri Hartamas.
Jelas jurucakap itu, api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 12.40 tengah hari.
“Unit siasatan masih berada di lokasi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, kebakaran premis tersebut dilaporkan oleh beberapa pengguna media sosial di aplikasi X.
Kejadian itu juga menyebabkan pekerja di premis berdekatan turut keluar berkumpul di kawasan lapang kerana dikhuatiri kebakaran akan semakin memburuk. – MalaysiaGazette