Anthony Loke Siew Fook. foto HAZROL ZAINAL, 09 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan purata 18 kematian sehari akibat kemalangan pada 2023 dengan 12 daripadanya membabitkan motosikal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pada tahun sama, seramai 6,443 orang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Iaitu purata 18 kematian akibat jalan raya setiap hari, bersamaan setiap 80 minit ada seorang yang meninggal dunia. Daripada jumlah itu, hampir dua pertiga adalah kemalangan membabitkan motosikal iaitu 4,480 kematian disebabkan kemalangan motosikal,” katanya dalam sidang media di Parlimen, petang tadi.

Dalam pada itu, Anthony berkata, daripada jumlah itu setiap dua jam ada kemalangan maut membabitkan motosikal.

Menurut Anthony, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan data mengenai kemalangan jalan raya pada setiap hari, bukan setahun sekali seperti diamalkan sebelum ini.

Kata beliau, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.

Menurutnya, kematian melibatkan kemalangan jalan raya lebih tinggi daripada kematian akibat Covid-19 dan kerajaan mahu rakyat sedar bahawa kemalangan juga amat berbahaya sama seperti Covid-19.

“Setiap hari akan dikeluarkan data hari sebelum itu oleh PDRM. PDRM telah bersetuju dan diputuskan dalam mesyuarat itu, data itu dikeluarkan secara harian.

“Sekarang ini, biasanya statistik itu hanya dikeluarkan sekali setahun, dikumpulkan jumlah kemalangan dan dikeluarkan setahun sekali. Itu memberikan gambaran yang tidak memberikan kebimbangan kepada orang ramai.

“Apa yang kerajaan nak buat ialah supaya meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa kemalangan jalan raya ini adalah antara punca kematian kepada negara kita.

“Ia perlu diambil serius semua pihak…kadangkala kemalangan juga disebabkan oleh kecuaian pemandu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette