DENGKIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada sembilan jenis Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), berkuatkuasa 7 Mac ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia merangkumi lori kargo am, lori tangki tepung, lori minuman botol, lori tangki air, lori sejuk beku, panel Vvan, lori luton atau kotak, window van dan penggerak utama.
“KPDN akan bekerjasama dengan lima syarikat minyak untuk memperluas SKDS 2.0.
“Fasa I Projek Rintis SKDS 2.0 telah berjaya dilaksanakan sejak Januari 2024 yang melibatkan enam syarikat perintis dalam Sektor Pengangkutan Darat (Barangan),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan cawangan Kampung Fresh Market di Cybersouth, di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, permohonan itu boleh dibuat mulai 7 Mac, jam 9 pagi melalui Sistem MySubsidi Diesel KPDN di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.
“Syarat-syarat permohonan mestilah syarikat hendaklah berdaftar di Malaysia, kenderaan barangan milik syarikat pemohon, kenderaan barangan mempunyai cukai jalan sah dan kenderaan barangan dalam sembilan jenis kenderaan disenaraikan terlibat dalam Fasa II Projek Rintis.
“Sebaik berjaya mendapat kelulusan di bawah Sistem MySubsidi Diesel KPDN, proses selanjutnya syarikat-syarikat Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) berkenaan boleh mendapatkan Fleet Card daripada syarikat minyak pilihan untuk pembelian diesel bersubsidi,” katanya.
Katanya, penggunaan fleet card dari kaedah manual ke teknologi digital bertujuan untuk mengawal selia barang bersubsidi yang dipertanggungjawabkan di bawah KPDN.
“Perluasan penggunaan Fleet Card kepada Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di bawah Fasa II Projek Rintis SKDS 2.0 bagi menambah baik kaedah kawal selia dalam pemberian diesel bersubsidi kepada kenderaan layak,” katanya.
Katanya lagi, KPDN dan Kementerian Kewangan sedang meneliti keperluan perluasan Projek Rintis SKDS 2.0 kepada jenis-jenis kenderaan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) lain.
“Ia bersesuaian bagi menangani risiko ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi dengan lebih cekap dan efektif.
“Kaedah digital ini juga dapat membantu mengurangkan kos kawalan dan penguatkuasaan yang dibuat secara fizikal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette