Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki menolak teman wanitanya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Shah Alam, Selangor pada 28 Februari lalu disambung reman selama dua hari bagi membantu siasatan kematian wanita tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang merupakan pemandu lori berusia 37 tahun dihadapkan semula ke mahkamah di Shah Alam kerana tempoh reman tamat hari ini.

“Mahkamah yang mendengar permohonan polis membenarkan tempoh reman ke atas suspek disambung lagi selama dua hari lagi sehingga 8 Mac ini untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatannya,” kata beliau kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang wanita warga Thailand berusia 32 tahun jatuh dan maut dari kondominium selepas disyaki ditolak oleh teman lelakinya dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam.

Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette