Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis memerlukan masa lebih untuk menyiasat kes kehilangan RM3.5 juta membabitkan jongkong emas dan wang tunai di rumah seorang ahli perniagaan wanita di Padang Balang, Sentul di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis masih meneruskan siasatan kes berkenaan dan menjejaki suspek terlibat dalam kejadian tersebut.

“Untuk makluman semua, kita (polis) masih menjalankan siasatan dan kita percaya akan ada perkembangan positif dalam masa terdekat ini,” katanya secara ringkas keitka ditanya pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Hi Tea KP Kuala Lumpur bersama pengamal media anjuran Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob, ketua-ketua polis daerah dan ketua-ketua jabatan Kuala Lumpur.

Semalam polis mengesahkan siasatan kes ini melibatkan semua aspek termasuk mengambil keterangan ahli keluarga usahawan wanita itu yang dilaporkan kerugian RM3.5 juta ekoran kejadian tersebut.

“Kenyataan ahli perniagaan wanita itu kita sudah rakam bagi membantu siasatan dan keterangan ahli keluarganya akan diambil dalam masa terdekat.

“Suspek turut melarikan beberapa buah beg tangan pelbagai jenama dalam kejadian antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam itu, ujarnya.

Menurutnya, ketika kejadian rumah berkenaan tiada berpenghuni dan kamera litar tertutup telah dirosakkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast