Asisten Komisioner Ismail Dollah

BATU PAHAT – Polis menemukan beberapa tulang dipercayai milik manusia di kawasan rumah terbiar di Jalan Besar Tongkang Pechah dekat sini pada 11.30 pagi 28 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah dalam kenyataan berkata, penemuan itu dilaporkan oleh orang awam dan Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, pasukan forensik telah menemukan dua tulang bahagian paha, dua tulang betis dan dua tulang keting yang kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 29 Feb untuk analisis perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).

“Pihak polis masih menunggu keputusan laporan analisis daripada Jabatan Kimia Johor dan dijangka proses analisis kimia ini mengambil masa lebih kurang sebulan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan ini. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menyalurkannya ke talian 07-4363 300,” katanya. – Bernama