KUALA LUMPUR – Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) didakwa seolah-olah membenarkan isu harga beras berlaku dengan tidak mengambil tindakan tegas atas pelanggaran peraturan.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, rakyat ketika ini resah, gelisah, marah kerana harga beras meningkat secara berterusan dan dimanipulasi oleh pemain industri.
Beliau turut memberi peringatan kepada lima pengilang besar yang mengawal 80 peratyus pasaran padi dan beras tempatan supaya jangan jadikan ketamakan untuk mengaut keuntungan berlebihan hingga rakyat dan kerajaan terjebak menjadi mangsa krisis.
“Saya juga mengharapkan Bahagian Kawalselia Padi Beras melaksanakan amanah dengan bersungguh-sungguh serta memberikan maklumat yang betul dan tepat kepada perdana menteri dan menteri supaya membolehkan mereka membuat keputusan yang segera dan tepat untuk kepentingan rakyat.
“Akibat daripada manipulasi kartel ini, rakyat ditipu kerana terpaksa membayar harga tambahan lebih dari sepatutnya sekurang-kurangnya RM14 per kampit (10 kilogram).
“Dalam tempoh enam bulan iaitu sejak September 2023 sekiranya sebanyak 720,000 tan metrik (80 peratus) daripada beras putih tempatan telah dijual secara manipulasi dengan harga beras putih import, ini bermakna sebanyak RM1.008 billion telah dirompak daripada poket rakyat,” katanya Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja Yang Dipertuan Agong.
Beliau juga Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz menambah, sekiranya setiap satu hari kerajaan menangguhkan keputusan untuk menetapkan harga siling beras putih ini bermakna sebanyak RM7 juta duit rakyat telah ‘dirompak’.
“Siapa yang akan bertanggungjawab di atas kesengsaraan rakyat ini? Walaupun Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negara, KPKM telah mengeluarkan kenyataan pada 7 September 2023 bahawa tidak berlaku penukaran kampit kepada beras import dan sebanyak 900 pemeriksaan berkala telah dilaksanakan melalui OPS Jamin?
“Tetapi kenapa beras putih tempatan masih tidak ada di pasaran sepertimana rungutan peruncit, pengguna dabn ahli-ahli yang berhormat di dewan ini?” soalnya. – MalaysiaGazette