Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa penghapusan pencen penjawat awam adalah bertentangan dengan Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah jelas mengelirukan.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Razeef Rakimin berkata, jika sistem berpencen adalah Islamik, mengapa Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di bawah seliaan Pas tidak diberikan pencen.

Malah paling menyedihkan guru-guru ini masih dibayar serendah RM500 bergantung kepada yuran yang dibayar ibu bapa dan berbeza mengikut kawasan bandar atau pedalaman.

“Bukan sahaja tidak diberi pencen malah mereka tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.

“Bukankah ini satu penindasan kepada golongan pendidik yang mana ia tidak Islamik?,” soalnya.

Razeef berkata, alangkah lebih baik jika Abdul Hadi tidak hanya seperti ‘Burung Tiong’dan ‘Burung Kakak Tua’ yang hanya tahu bising tetapi bukan sahaja tidak memahami malah tidak melaksanakan apa yang dikata.

Semalam, Abdul Hadi mengkritik kerajaan yang menggunakan slogan “Madani” namun pada masa sama merancang untuk menghapuskan sistem pencen anggota perkhidmatan awam.

Menurut ahli parlimen Marang itu, penghapusan pencen penjawat awam adalah bertentangan dengan Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Presiden PAS itu mendakwa skim pencen telah diperkenalkan oleh nabi ketika baginda menjadi ketua negara Islam pertama di Madinah.

“Satu contoh yang perlu diambil perhatian: cadangan menghapuskan pencen pesara tak wajar dibangkitkan dan tak Madani,” katanya.

Tambah Abdul Hadi jasa kakitangan awam perlu dinilai bukan dari segi material saja sebaliknya jasa dan khidmat mereka kepada negara selama ini. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Bodohnya ko ni…pencen ni di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dan JPA tu di bawah kerajaan Pusat. PASTI tu di bawah kerajaan Pusat kaaa?

  2. memang bodoh lah, duit pencen itu duit pembayar cukai, bukan duit PKR atau PH. kalau duit pembayar cukai masuk dalam duit PAS, sudah tentu guru PASTI dapat pencen dan anak murid dapat belajar percuma.

Comments are closed.