Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu menganggap kenyataan Menteri Komunikasi perihal kad media wartawan bukan lesen diperlukan untuk pengamal media sebagai kurang ajar.

Datuk Razali Idris berkata, kenyataan Fahmi seakan-akan membodohkan rakyat dan pengamal media mengenai fungsi kad media dibandingkan dengan lesen perubatan, peguam, arkitek atau jurutera.

“Selama ini pun pengamal media telah maklum akan akreditasi kad media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan menerusi pendaftaran rasmi, tapisan dan kelulusan bagi membolehkan media bergerak bebas tanpa sekatan atas tujuan tugasan.

“Persoalannya sekarang ialah ada ura-ura untuk mengetatkan peraturan bagi kelulusan kad media, memendekkan tempoh sah kad media, mengawal lambakan pengamal media yang bertugas dalam organisasi atas talian serta dilihat ada usaha-usaha menyekat kebebasan media sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Razali, Menteri Komunikasi harus menghormati profesionalisme media dan kewartawanan yang mempunyai institusi tersendiri.

“Ingat, pejuang kemerdekaan, pejuang bangsa dan pejuang wadah keilmuan adalah datangnya dari keringat yang tidak pernah kenal erti penat lelah iaitu wartawan dan pengamal media,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast