Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini sebaik semua lapan pertuduhan melakukan ugut bunuh dan bakar ibu, mencederakan anak dan isteri serta melakukan amang seksual terhadap tiga anaknya bulan lalu.

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas pertuduhan ugut bunuh dan bakar ibu, mencederakan anak dan isteri serta melakukan amang seksual terhadap tiga anaknya bulan lalu.

Tertuduh berusia 40 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua lapan pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Rohatul Akmar, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Merlimai Baru, Jasin kira-kira pukul 10 malam 26 Februari lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding di hadapan Azaraorni, tertuduh turut didakwa melakukan ugutan jenayah untuk bunuh dan bakar ibu kandungnya berusia, 63 tahun, di luar rumah lokasi, tarikh dan waktu sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak bekerja turut didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun dan isterinya berusia 41 tahun pada tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbuatan itu menjadi kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah jaminan kerana mangsa adalah anak kandung tertuduh namun jika dibenarkan, Anis Najwa memohon dikenakan RM20,000 selain syarat tambahan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak mahkamah tidak membenarkan jaminan selain tertuduh yang tidak diwakili peguam juga memberitahu mahkamah tidak mampu menyediakan wang jaminan.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula 22 April ini untuk lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast