KLANG – Polis merampas 100 peket serbuk dadah dipercayai jenis ecstacy seberat 4,582 gram yang dianggarkan bernilai RM229,100 dalam satu serbuan di sebuah hotel di sini pada 26 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong berkata, dadah itu dirampas selepas pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun.
“Hasil ujian saringan awal air urin terhadap suspek didapati negatif. Suspek telah direman lapan hari bermula 27 Februari hingga 5 Mac lalu bagi membantu siasatan.
“Suspek kemudiannya dituduh di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 pada Selasa lalu,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini.
Menurut Hoong Fong, kesemua 100 peket dadah itu dipercayai diseludup masuk dari Ulu Tiram, Johor untuk bekalan sekitar kawasan Klang.
“Polis akan sentiasa memantau penyalahgunaan dadah dan membuat tangkapan terhadap pengedar dan penagih dadah di bawah pentadbiran Klang Selatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette