Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Meskipun berbaki tiga hari menjelang Ramadan pada minggu depan, hanya Sarawak belum lagi mengumumkan nisab zakat fitrah untuk umat Islam di negeri tersebut.

Difahamkan, pihak Majlis Islam Sarawak (MIS) bakal berbuat demikian dalam masa terdekat sebagai rujukan bagi masyarakat Islam untuk menunaikan ibadah tersebut.

Demikian diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika melancarkan sambutan Ihya Ramadan 1445 di sini petang ini.

“Setakat ini, hanya Selangor, Melaka, Pahang, Perlis dan Kelantan mengesahkan kadar kekal seperti tahun lalu selaras pengumuman pihak berkuasa agama negeri itu,” katanya.

Kesemuanya ujar beliau, menetapkan nisab paling rendah sepanjang Ramadan kali ini iaitu sebanyak RM7 dengan Pahang dan Perlis masing-masing mewartakan satu kadar.

Sebaliknya menurut beliau, tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan yang meliputi tiga entiti sebagaimana diumumkan baru-baru ini memaklumkan nisabnya meningkat pada kali ini.

Terengganu mencipta rekod sebagai negeri yang paling tinggi untuk kadar minimum iaitu RM10 berbanding tahun lalu hanya RM8 manakala nisab tertinggi pula ditetapkan RM22.

Ini diikuti Perak yang memaklumkan kadar minimumnya iaitu RM8, malah nisab median dan paling tinggi juga dinaikkan yang masing-masing dua ringgit kepada RM16 dan RM24.

Kedah yang memperkenalkan nisab paling rendah iaitu RM6.50 untuk kadar minimum pada tahun lalu, bagaimanapun tahun ini mengumumkan kenaikan kepada RM7.

Begitu juga Sabah menaikkan nisab tunggalnya di negeri tersebut kepada RM7.50, iaitu kadar sama yang pernah diwartakan pada 2020 sebelum turun kepada RM7 sejak 2021.

Johor pula yang selama ini cuma ada dua nisab sejak 2019 tetapi untuk tahun ini mengikut jejak negeri-negeri lain dengan memperkenalkan tiga kadar berbeza bagi umat Islamnya.

Negeri itu mengumumkan nisab paling tinggi iaitu RM20 manakala kadar sederhananya ditetapkan hanya RM12 dan kadar minimum dikenakan sama RM7 yang kekal sejak 2017.

Utusan Malaysia tahun lepas pernah mendedahkan kemungkinan nisab zakat fardu setiap kali Ramadan itu akan naik susulan isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran.

Situasi pelik ketika beras tempatan dilaporkan menguasai lebih 60 peratus stok di negara ini, menyebabkan umat Islam ‘terpaksa’ memilih beras import yang harga mahal.

Kelazimannya, kadar sederhana dikira merujuk kepada gred beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi, beras calrose, beras poney atau setaraf.

Kadar mahal pula kebiasaannya dihitung ke atas individu Muslim yang sering kali makan beras jenis basmathi, beras Jepun, beras merah atau gred premium setaraf tersebut.

Nisab zakat fitrah setiap negeri adalah berbeza dengan berdasarkan kepada harga beras mengikut gred pada ukur berat timbang satu gantang Baghdad atau kira-kira 2.6 kilogram.

Kewajipan tersebut hendaklah dibayar bermula daripada 1 Ramadan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri pada pagi 1 Syawal melalui pelbagai kaedah pembayaran ditetapkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast