Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memberi mandat kepada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memberi mandat kepada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) untuk berkhidmat sebagai badan pemikir strategik Kementerian Sumber Manusia atau KESUMA.

TalentCorp yang merupakan agensi di bawah KESUMA diamanahkan untuk merancang strategi bagi pembangunan dasar, advokasi, dan perancangan masa hadapan kementerian.

“Saya melihat TalentCorp memainkan peranan penting selaku badan pemikir KESUMA, yang bekerjasama dengan jabatan dan agensi Kementerian untuk menangani cabaran yang semakin berkembang dalam tenaga kerja di Malaysia.

“TalentCorp berada dalam kedudukan yang unik dalam memainkan peranan tersebut melalui pelbagai program yang dikhususkan untuk bakat tempatan dan global, serta menjalinkan kerjasama rentas kementerian, agensi, industri dan akademia,” katanya dalam kenyataan.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam mesyuarat pertama Future Skills Talent Council TalentCorp (FSTC) bagi sektor Elektrik & Elektronik (E&E) yang diadakan pada 6 Mac 2024 di Georgetown, Pulau Pinang.

FSTC merupakan sebuah inisiatif yang dipacu industri dimana ahli majlis FSTC akan mengenal pasti kemahiran serta bentuk latihan yang diperlukan sektor mereka.

Dalam mesyuarat sulung mereka, Ketua Pegawai Eksekutif Inari Amertron Berhad, Lau Kean Cheong telah dipilih sebagai Pengerusi pertama FSTC E&E.

Selain itu, Steven turut mengumumkan projek pertama yang akan dilaksanakan oleh TalentCorp iaitu menghasilkan laporan mengenai impak kecerdasan buatan, digitalisasi dan ekonomi hijau ke atas tenaga kerja dan landskap kerja Malaysia.

Kajian itu akan dijalankan dalam dua fasa di mana fasa 1 dijangka siap menjelang September 2024.

“Kajian ini akan menjadi bahan rujukan bukan sahaja kepada penggubal dasar malahan, kepada industri khususnya PKS dalam penyediaan tenaga kerja masa hadapan,” katanya.

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju.

Usaha TalentCorp dipacu oleh kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan di dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada tiga penawaran khidmat utama: Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia. – MalaysiaGazette