Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak yang diasuh isterinya ditahan di Pandan Indah, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada ibu mangsa berusia 38 tahun pada 29 Februari lalu.

“Siasatan awal polis mendapati pengadu mendakwa anak sulung dari dua beradik itu memaklumkan kepadanya suspek yang juga suami pengasuh mencium pipi dan membuka seluar sambil menggosokkan kemaluannya.

“Suspek juga mengambil tangan mangsa dan meletakkan di alat sulitnya sambil menggosok-gosok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Nazruel Ekram, ibu mangsa menerima mesej daripada pengasuh anaknya yang memaklumkan bahaw suaminya tidak melakukan perkara tersebut dan meminta beliau merahsiakannya kerana mempunyai ramai anak asuhan.

Tambah beliau, berikutan laporan yang diterima, sepasukan polis membuat tangkapan ke atas suspek berusia 55 tahun pada Isnin lalu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah sementara semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

Katanya, suspek kini direman selama seminggu sehingga 11 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. -MalaysiaGazette