Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerana duit badan binasa!

Seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak menikam rakannya sendiri selepas gagal menuntut hutang sebanyak RM30 di Sungai Way dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, kejadian berlaku pukul 12.15 tengah malam Rabu lalu apabila suspek berusia 20-an datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutangnya.

Bagaimanapun berlaku pergelutan semasa kejadian itu di mana suspek mengeluarkan pisau dan menikam dadah kiri serta mengelar leher mangsa.

“Mangsa yang berusia lingkungan 20-an menjerit kuat selepas tidak dapat menahan kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila suspek tidak berpuas hati mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan suspek yang berada di bawah pengaruh dadah bertindak di luar kawalan dengan menikam dada beberapa kali dan mengelar leher mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Shahrulnizam, bertindak atas maklumat, polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek lelaki pukul 1 pagi pada hari sama kejadian di rumahnya.

Katanya, rumah suspek terletak selang beberapa rumah dengan mangsa.

“Mangsa kini sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan keadaan dilaporkan stabil di mana luka kecederaan juga sudah dijahit.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek disahkan positif dadah syabu dan dia direman sehingga 12 Mac ini,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan Dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda – MalaysiaGazette