Reezal Merican memberi ayam yang dijual pada harga RM5 seekor kepada pengunjung program Perda Santuni Komuniti Madani di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Lembaga Kemajuan Pulau Pinang (PERDA) meneruskan usaha menyantuni komuniti luar bandar menerusi pelaksanaan program Perda Santuni Komuniti Madani.

Pengurus Besar PERDA, Mohd Asri Baharum berkata, program berkenaan merupakan satu daripada inisiatif PERDA dalam usaha untuk membantu dan mensejahterakan masyarakat.

Jelas beliau, banyak informasi dan maklumat dapat disampaikan kepada masyarakat luar bandar berkenaan program dan projek yang memberi manfaat kepada mereka serta manjana pengetahuan komuniti setempat.

“Menerusi program sama, kita juga mengambil inisiatif mengumpulkan input daripada masyrakat luar bandar agar ia dapat diguna pakai dalam penambahbaikan pelan strategik PERDA pada masa depan demi kesejahteraan semua rakyat.

“Pelaksanaan program ini membabitkan enam siri di seluruh Pulau Pinang dan hari ini merupakan siri kedua yang mana sebelum ini kita lakukan di Sungai Setar, Nibong Tebal pada 3 Mac lalu.

“Selepas raya (Aidillfitri) kita akan teruskan siri ketiga di Batu Maung,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merasmikan program Perda Santuni Komuniti Madani siri kedua di Dewan Kariah Permatang Rambai di sini.

Antara aktiviti yang berlangsung adalah ceramah motivasi keibubapaan, pertandingan mewarna kanak- kanak, cabutan bertuah, reruai pameran, gerai jualan dan jualan Agro Madani dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Reezal Merican mengagihkan bantuan bakul Rahmah yang mengandungi barangan keperluan kepada 200 penerima.

Sebanyak 600 ekor ayam mentah telah dijual kepada pengunjung yang hadir dengan 300 ekor daripadanya dijual pada harga RM5 seekor menerusi slot Jualan Happy Hour, yang diberikan subsidi tambahan oleh Reezal Merican.

Turut dijual 600 kampit beras tempatan 10 kilogram pada harga RM23 serta 150 kampit beras import pada kadar RM13 bagi lima kilogram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast