GEORGE TOWN – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyasarkan kutipan RM1 juta sepanjang Ramadan untuk disalurkan kepada 50 buah keluarga di Gaza menerusi Program Keluarga Angkat Gaza.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, idea Program Keluarga Angkat Gaza ini tercetus selepas beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bercadang mewujudkan hubungan akrab antara rakyat di negara ini dengan penduduk Gaza selain menghulurkan bantuan.
Antara NGO terlibat adalah Yayasan Nurul Islam (YNI); Central Muslim Soceity (CMS) dan Pertubuhan Kebajikan Jalan Kedah.
Jelas beliau, pihakya percaya hubungan jangka panjang akan membolehkan rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan lebih proaktif kepada mereka yang terjejas akibat serangan di Gaza.
“Bagi fasa pertama ini, kita sudah kenal pasti 50 keluarga dengan bantuan sekretariat di sana dan sumbangan yang dihulurkan keluarga di sini (rakyat Malaysia) akan diberikan kepada mereka mengikut pecahan keluarga.
“Meskipun program ini baru dilancarkan hari ini kita sudah ada kutipan sumbangan dan kita jangka kutipan fasa pertama ini akan diserahkan pada minggu kedua Ramadan manakala selebihnya menjelang Syawal.
“Keluarga yang menyumbang akan berhubung dengan keluarga di Gaza dengan bantuan sekretariat untuk mengetahui perkembangan di sana sekali gus mengeratkan silaturahim,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Program Keluarga Angkat Gaza di Jalan Transfer di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Azmi meminta umat Islam di negara ini untuk bersikap bersederhana ketika berbuka puasa (iftar) dengan mengingati ramai penduduk Gaza berada dalam keadaan kebuluran.
“Semua kita teruja nak melangkah masuk ke bulan Ramadan sama juga dengan mereka di Gaza meskipun keadaan sangat getir tanpa bekalan makanan.
“Bayangkan kalau harga iftar hotel atau mana-mana lokasi kira-kira RM90 bagi seorang itu disumbangkan kepada penduduk Gaza, semestinya ia tidak dapat dibandingkan.
“Jadi saya nak tekankan di sini, kita boleh berbuka dengan selesa tapi kurangkan pembaziran sekali gus memberi tumpuan kepada projek ini untuk sama-sama menghayati erti pengorbanan sebenar ketika berpuasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi YNI, Prof Madya Dr. Shaik Abdullah Hassan Mydin berkata, bagi Pulau Pinang, pihaknya telah berjaya mengumpul dana bagi 20 keluarga setakat ini.
“Setiap keluarga akan menerima satu borang yang mana minimum sumbangan berjumlah RM500 bagaimanapun jika mereka tidak mampu keluarga tersebut boleh bergabung dengan keluarga lain untuk melengkapkan jumlah sumbangan.
“Sumbangan itu terpulang takat mereka mampu cuma kita minta mereka isi sebagai sebuah keluarga bagi membolehkan mereka berhubung dengan keluarga angkat atau keluarga yang mereka bantu di Gaza.
“Dalam masa sama, kita nak tekankan di sini bahawa rakyat Malaysia sentiasa berada bersama penduduk Gaza dan melalui cara ini kita juga dapat memberikan sokongan moral kepada mereka di sana,” katanya. – MalaysiaGazette