Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil dan merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung seorang bayi lelaki maut selepas dicampak dari tingkat atas sebuah kondominium dalam kejadian di Sri Petaling di sini semalam.

Tragedi itu menyebabkan kepala mangsa pecah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi berkata, dua individu telah tampil membantu siasatan polis dalam kes tersebut.

“Kedua-dua individu dirakam keterangan merupakan saksi dalam kejadian ini.

“Polis masih belum mengenal pasti suspek dan pemburuan dipergiatkan sementara setakat ini, kita telah selesai ambil keterangan dua saksi bagi membantu siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut lagi, Ku Mashariman jmenjelaskan, kematian bayi dalam keadaan menyayat hati itu diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

“Proses bedah siasat terhadap mayat bayi berkenaan akan dijalankan pada jam 2 petang ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi menentukan punca kematiannya,” katanya lagi.

Dalam kejadian 9 Mac 2024, Ku Mashariman mengesahkan polis menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, hasil siasatan awal pasukan polis di lokasi mendapati bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu  dicampak atau dibuang dari kedudukan yang tinggi sehingga mengakibatkan bahagian kepalanya pecah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan polis bagi mengenal pasti ibu bapa atau individu terbabit dalam kejadian itu,” ujarnya.- MalaysiaGazette