KUALA LUMPUR – Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menyambut baik saranan kerajaan untuk mewajibkan pekerja asing menjalani pemeriksaan melalu Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) setiap tahun bagi menjamin kesihatan mereka ketika di Malaysia.
Timbalan Presiden Perdim, Dr Norzaidi Zakaria berkata, ia kerana penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi dan kencing manis akan sentiasa berubah akibat permakanan mereka di Malaysia.
“Penyakit ini nampak mudah tetapi sering memberi komplikasi seperti angin ahmar jika tidak di kawal selalu. Jika ini terjadi akan meningkatkan kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh majikan. Seterusnya meningkat kos rawatan di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.
FOMEMA sebelum ini menetapkan menetapkan tiga syarat baharu bagi saringan kesihatan pekerja asing di negara ini, termasuk menjalani ujian pengesanan dadah.
Selain itu, pekerja asing perlu melakukan pemeriksaan perubatan melalui FOMEMA setiap tahun dan juga menaikkan harga pemeriksaan itu.
Syarat terbabit berkuat kuasa 16 Disember lalu dibuat ke atas semua pekerja asing termasuk yang baharu tiba serta mereka yang mahu memperbaharui prosedur proses pekerjaan.
Berdasarkan kenyataan disiarkan menerusi Facebook rasminya, FOMEMA memaklumkan, tiga ujian saringan kesihatan baharu itu ialah ujian Filariasis, Hepatitis C dan ujian pengesanan dadah Methamphetamine.
“Bermula 16 Disember 2023, sejajar dengan hala tuju Kerajaan Malaysia, FOMEMA memperkenalkan tiga ujian saringan kesihatan baharu dalam perkhidmatan kami,” ujar FOMEMA.
Dr Norzaidi berkata, tiga ujian tambahan itu bagi mencegah penyakit yang berjangkit merebak di Malaysia jika tidak dikawal.
Lagipun, rekod menunjukkan ada peningkatan penyakit tersebut sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 6,413 pekerja asing dikesan menghidapi tuberkulosis (TB); Hepatitis B (3,347); siflis (960), HIV (447), malaria (22) dan kusta (3).
“Jadi Perdim menyokong langkah ini dan menyarankan kuota bagi klinik-klinik swasta ditambah kerana terdapat peningkatan pemeriksaan pemeriksaan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette