Zaliha bergambar bersama-sama penerima replika kunci rumah @Projek Baiti Jannati Wilayah Persekutuan di PPR Kerinchi di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih banyak lagi pihak swasta dialu-alukan untuk menyumbang kepada Program Baiti Jannati@Wilayah Persekutuan dalam usaha mengurangkan kesenjangan hidup golongan yang memerlukan di ibu kota.

Malah, menerusi bantuan yang dihulurkan ia boleh memberikan keceriaan selain dapat dimanfaatkan oleh golongan berkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutan, Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya, usaha itu tidak mampu untuk direalisasikan tanpa kerjasama daripada semua pihak.

“Jaminan kami di pihak kerajaan komitmen sepenuhnya akan diberikan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, antaranya dengan menyediakan tempat tinggal yang kondusif sebagai tanda keprihatinan Kerajaan kepada rakyat, khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Semoga sumbangan ini menjadi hadiah yang terindah buat mereka, khususnya dalam tempoh beberapa hari akan memulakan puasa, dan Aidilfitri yang akan kunjung tiba,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Projek @Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Megat Jaluddin Megat Hassan.

Pada majlis itu, TNB yang merupakan syarikat milikan penuh kerajaan menyumbang sebanyak RM700,000 wang zakat dan RM150,000 di bawah peruntukan khas tanggungjawab sosial (CSR) bagi membaiki 17 unit rumah di bawah program itu.

Penerima unit rumah berkenaan melibatkan enam Parlimen iaitu lima orang dari Parlimen Lembah Pantai, masing-masing empat dari Parlimen Bandar Tun Razak dam Parlimen Batu, dua dari Parlimen Setiawangsa dan seorang penerima dari Parlimen Seputeh dan Parlimen Wangsa Maju.

Dalam pada itu, Zaliha turut mengucapkan terima kasih kepada TNB yang prihatin terhadap usaha untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Katanya, menerusi bantaun yang dihulurkan ia mampu mencapai matlamat utama program tersebut iaitu meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), golongan asnaf dan fakir miskin di Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah, dengan sokongan yang diterima daripada pihak swasta, program ini telah melangkah ke tahun yang kelapan penganjurannya dalam tempoh tuju tahun kebelakangan ini, program ini telah memberi manfaat seramai 330 keluarga.

“Insya-Allah pada hari ini pula, program ini akan memberi manfaat kepada 17 keluarga lagi, menjadikan secara total seramai 347 keluarga yang menerima manfaat dari program ini tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan kepercayaan sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2016,” ujarnya. – MalaysiaGazette