Polis kesan penunggang motosikal sengaja cetus kemalangan dengan niat dapatkan ganti rugi di sekitar pusat bandar Pulau Pinang. - Gambar tular.

GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya dengan niat mahu meminta sejumlah wang kononnya sebagai gantirugi daripada pemilik kereta yang terlibat dalam insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pada Disember lalu.

“Setakat ini kita terima satu saja laporan berhubung kejadian tersebut dan usaha mengesan suspek terlibat sedang dijalankan.

Razlam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar serta video memaparkan seorang lelaki yang juga penunggang motosikal sengaja mencetuskan kemalangan dengan bertindak melanggar sebuah sebelum mendakwa kesalahan itu berpunca daripada pemilik kereta terbabit.

Susulan pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit dikatakan akan meminta ganti rugi antara RM20 hingga RM60 daripada pemilik kereta terlibat dengan alasan cermin sisinya patah akibat insiden tersebut.

Lelaki terbabit didakwa kerap mencetuskan kemalangan sekitar jalan pusat bandar, Jalan Masjid Negeri, Bukit Gambir, Taman Lip Sin serta Taman Tun Sardon. – MalaysiaGazette