KUALA SELANGOR – Jelajah Badan Perhubungan Negeri Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) ke bahagian-bahagian tiada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil susulan tujuh wakil rakyatnya termasuk enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN menyokong Kerajaan Madani.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya ia bertujuan untuk memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat, bukan sahaja di Parlimen itu, bahkan di seluruh negeri.
“Saya baru sahaja diberi tugas sebagai Pengerusi PN Selangor.
“Oleh kerana ada perkembangan terkini di Tanjong Karang, sudah tentu kita sebagai parti politik perlu bersiap siaga dengan apa juga kemungkinan.
“Saya mulakan jelajah di Kota Raja minggu lepas dan ia akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri.
“Hari ini saya lihat Tanjong Karang semangatnya luar biasa sekali dan tahniah kepada ADUN Permatang dan Sungai Burong yang menggerakkan jentera,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri jamuan makan tengah hari di Kampung Permatang, di sini.
Hadir sama, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh dan ADUN Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd Zainudin.
Semalam, media melaporkan PN bersama Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) akan mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia untuk memberi penerangan mengenai isu semasa yang menghimpit rakyat ketika ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, MUDA akan diwakili Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berkolaborasi sepanjang jelajah itu, dijangka bermula selepas Aidilfitri.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung MUDA, Amir Hadi menafikan partinya akan terbabit dalam jelajah itu kerana perkara terbabit tidak pernah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA. – MalaysiaGazette