Sebanyak 28 buah e-skuter dirampas MBPP dalam satu operasi di Lebuh Armenian di sini, semalam.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terus menggempur premis yang menjalankan perniagaan perkhidmatan sewa e-skuter tanpa lesen di Lebuh Armenian di sini, semalam.

MBPP dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 28 buah e-skuter berjaya dirampas dalam operasi yang dilakukan berdasarkan risikan dan pemantauan berterusan Jabatan Pelesenan dan Pasukan Risikan dan Operasi Jabatan Penguatkuasaan MBPP.

“Hasil siasatan mendapati kebanyakan pengusaha yang menawarkan perkhidmat tersebut berselindung di sebalik perniagaan sewaan basikal.

“Malah, sebelum operasi tersebut dijalankan, sebuah e-skuter dilaporkan terbabit dalam kemalangan kecil membabitkan kereta orang awam.

“Pemantauan juga mendapati beberapa kenderaan e-skuter ditunggang secara berbahaya dan melulu di atas jalan raya yang dipenuhi dengan kenderaan,” katanya di Facebook.

Tambah MBPP, pihaknya memandang serius isu keselamatan dan kepentingan awam membabitkan penggunaan e-skuter.

“Sehubungan itu, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dilakukan iaitu rampasan kenderaan e-skuter akan dipergiat demi keselamatan pengguna lalu lintas serta orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette