SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok putih dan minuman keras yang diseludup dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM13.4 juta dalam dua serbuan di Selangor pada 26 Februari dan 1 Mac lepas.

Pengarahnya, Mohammad Hafiz Ishak berkata, dalam serbuan pertama di Pelabuhan Klang Utara pada pukul 12 tengah hari bulan lepas, pihaknya menahan dua lelaki berumur sekitar 40an selepas menemukan 97,200 tin dan 30,392 botol minuman keras pelbagai jenama dan saiz bernilai RM3.2 juta dalam tiga kontena.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini beliau berkata, minuman keras itu dipercayai dibawa masuk ke dalam negara dari Dubai dan China untuk dipasarkan di negara jiran.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada kira-kira pukul 4 petang di sebuah premis sekitar Pandamaran awal bulan ini pula, pihaknya menahan lima unit kontena dan dua lori mengandungi 591,000 paket rokok putih pelbagai jenama dan 51,936 tin serta 5,576 botol minuman keras bernilai RM10.2 juta dipercayai cuba dilarikan cukai.

Katanya, susulan penenemuan itu pihaknya menahan seorang pemilik premis berusia 50an bersama dua pekerja warga asing dalam lingkungan 30an bagi membantu siasatan.

Mohammad Hafiz berkata, kedua-dua kes itu menggunakan modus operandi sama iaitu membawa masuk barangan bercukai ke dalam negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan sah untuk dijual pada harga yang lebih murah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-88 atau http://aduan.customs.gov.my atau Pejabat Kastam yang terdekat, dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.” katanya. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast