Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari bercakap pada sidang media ketika di Pejabat Firma Guaman, Plaza Masalam, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 11 MAC 2024.

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari tidak terkejut jika jentera Bersatu Kapar melabelkan dirinya sebagai pengkhianat kerana memenangkan beliau dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu.

Bagaimanapun Abdul Rashid mengingatkan jentera Bersatu semua kerja-kerja kempen yang dilakukan mereka bagi memenangkan beliau sebenarnya mendapat bayaran yang setimpal.

“Saya terima, memang betul mereka membantu saya tetapi mesti ingat segala kerja-kerja yang mereka buat itu ada imbuhan, bukan percuma.

“Saya berbelanja untuk membayar elaun mereka, makan dan sebagainya.

“Kalau kata mereka bertungkus-lumus siang malam pagi petang memenangkan saya dan saya menjadi pengkhianat, saya rasa tak betullah.

“Sebab mereka semua dapat imbuhan, dapat elaun yang memuaskan,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Plaza Masalam, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Rashid menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dengan rela hati tanpa sebarang paksaan pada 6 Mac lalu.

Menurut Abdul Rashid, tindakan itu didorong setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast