Wan Rosdy Wan Ismail

MARAN – Kerajaan negeri Pahang bersedia membuat kajian terperinci unsur nadir bumi lempung, Jerapan Ion (IAC-REE) bagi memperluaskan penerokaan bahan mineral itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengesahkan kewujudan bahan mineral itu berkata, kini jumlah unsur nadir bumi itu sedang dikaji pihak terbabait.

“Kajian menyeluruh berkaitan IAC-REE perlu dibuat kerana ia membabitkan kawasan alam sekitar, perhutanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat ( STR) Felda Pahang di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 14, hari ini.

Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan bahawa Pahang kaya dengan nadir bumi yang berjumlah 1.2 juta tan.

Terdahulu media melaporkan terdapat 10 negeri membabitkan 29 kawasan yang mempunyai unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, ilmu kemahiran berkaitan kajian tersebut tepat dengan penubuhan Akademi Mineral Pahang di Lipis pada tahun ini bagi melatih generasi muda dalam meneroka hasil mineral di Pahang. – MalaysiaGazette